Isu Illegal, Unreported and Unregulated Fishing (perikanan IUU) merupakan isu utama dalam pengurusan sumber perikanan di peringkat antarabangsa, dan Malaysia perlu menunjukkan komitmen dan bertindak serius ke atas aktiviti yang menyokong perikanan IUU bagi memastikan bahawa sumber negara terjamin dan terkawal.  Perikanan haram telah mendapat perhatian di forum antarabangsa termasuk Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), ASEAN dan APEC.  Perikanan IUU juga sering menjadi halangan teknikal kepada perdagangan (TBT), seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan syarat laluan pasaran yang ketat bagi memastikan bahawa produk yang memasuki EU adalah bebas perikanan IUU.  Sehubungan dengan itu, antara instrumen antarabangsa utama dalam membasmi perikanan IUU adalah Port State Measures Agreement (PSMA) dan United Nations Fish Stock Agreement (UNFSA).

Memandangkan Malaysia merupakan antara negara yang masih belum menandatangani PSMA dan UNFSA, maka pelbagai negara (terutamanya USA, EU dan negara ahli Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)) dan organisasi antarabangsa terutamanya Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) yang mana Malaysia adalah ahli kontrak kepada IOTC sejak tahun 1998 telah bertanya akan pendirian dan hala tuju Malaysia ke atas PSMA dan UNFSA, atas dasar bahawa PSMA dan UNFSA dapat memperkukuhkan perundangan dan institusi negara dalam membasmi perikanan IUU.

Justeru itu, Jabatan Perikanan Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah memohon secara rasmi bantuan teknikal melalui Technical Cooperation Programme Facility (TCPF) kepada the Food Agriculture Organization of the United Nations (FAO) Regional Office for Asia Pacific (RAP) Bangkok pada 4 Oktober 2016 untuk melaksanakan analisa jurang (gap analysis) ke atas kerangka perundangan Malaysia sebagai salah satu langkah persediaan sekiranya Malaysia menjadi party (negara ahli) kepada PSMA dan UNFSA.  Pada 18 November 2016, FAO telah meluluskan secara rasmi permohonan Malaysia bagi projek TCPF.

Beberapa siri mesyuarat, bengkel dan konsultasi telah dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu berkaitan dengan perikanan IUU dan cadangan perlaksanaan instrument antarabangsa di Malaysia, perundangan domestic berkaitan persediaan Malaysia menjadi party kepada PSMA dan UNFSA.  Di akhir projek ini pada Mac 2019, beberapa syor dijangka akan dikemukakan bersekali dengan langkah atau pelan terperinci untuk Malaysia melaksanakan syor-syor berkenaan.  Projek ini tidak akan mengikat Malaysia untuk melaksanakan sebarang tindakan memandangkan syor-syor adalah bersifat sukarela dan dengan itu berkepentingan dan kedaulatan Malaysia akan tetap terpelihara.

Memandangkan usaha membendung dan memerangi perikanan IUU memerlukan kerjasama pelbagai pihak, bengkel ini diadakan bagi mendapatkan maklumbalas dan pandangan pihak kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan dengan pembinaan keupayaan, CBA dan skim penalty dan kesalahan.  Objektif bengkel ini adalah (1) Mendapatkan input mengenai kehendak keupayaan (capacity requirements) seperti keupayaan sumber manusia dan institusi serta latihan teknikal kea rah perlaksanaan kehendak yang digariskan dalam PSMA, UNFSA dan syor daripada EU; (2) Melakukan analisa kos-faedah yang berkaitan dengan cadangan Malaysia untuk meratifikasi dan melaksanakan UNFSA dan PSMA serta syor daripada EU; (3) Menjalankan analisa peringkat-peringkat penalty dan kesalahan (sebagai factor pencegahan) dari segi kos dan factor-faktor yang berkaitan seperti isu buruh, alam sekitar, sumber dan pencerobohan (pengkelasan zon dan sekitar perairan negara; dan (4) Memberi input dalam menggariskan keperluan sumber manusia dan latihan teknikal kepada DoFM dan kementerian lain serta agensi yang terlibat dalam perlaksanaan UNFSA, PSMA serta syor daripada EU.